Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala
Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari
datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor.
Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam
diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnyatetapi kesabaran saya
tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala
tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali
kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga
datang lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya
kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk
dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya
lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya.
Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di
sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan
rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya
dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan
gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang
berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka
baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan
pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya.
Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan
memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju
tadi?” Dia terkejut dan wajahnya berubah.
“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada
baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.”
Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”
” Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan
ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan
saja punggung kamu.”
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak
itu, “Maafkan cikgu, …….” Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas
itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
- Dipetik dari pengalaman seorang guru yang dedikasi. - (Facebook Medialah.com)
No comments:
Post a Comment