08 January 2013

Pembohongan USTAZ Tajuddin Othman Abdullah

Pra-kata
Beberapa tahun dahulu, Majalah Muslimah telah menemubual seseorang yang mendakwa sebagai 'Paderi Besar' di Sabah. Kisah ini kemudiannya tersebar di internet dan bagi mereka yang tidak mempunyai asas pengetahuan yang mendalam, pasti mudah terpedaya dengan kisah rekaan 'Paderi Besar' ini. 'Paderi Besar' itu dikenali sebagai Thomas Laiden semasa menjadi Katolik dan setelah memeluk agama Islam, menggunakan nama USTAZ Tajuddin Othman Abdullah.
1) Paderi Thomas Laiden
Di dalam temuramah tersebut, menampilkan seorang individu yang mengaku sebagai bekas paderi iaitu 'Paderi' Thomas Laiden. Beliau menyatakan pernah bekerja sebagai Paderi Besar Gereja-Gereja seluruh Salah pada tahun 1988 dan bertugas di Gereja St Mary Kota Kinabalu.
Untuk pengetahuan kita semua, Gereja sentiasa  menyimpan semua rekod dan dokumen mengenai Uskup-Uskup dan para paderi yang telah dan sedang melayani di setiap Gereja. Dokumen sejak 1897 telah disemak sehinggalah kini, namun  nama Paderi Thomas Laiden  tidak pernah wujud! 
 Begitu juga 'kategori' sebagai Paderi Besar. Tidak ada jawatan sedemikian di dalam Gereja Katolik. Penting untuk kita ingati bahawa paderi yang bertanggungjawab ke atas seluruh Gereja Katolik (Paroki) yang berada di dalam wilayah Keuskupan-nya ialah Uskup. Seorang paderi hanya diberi tugasan untuk menjaga paroki sahaja malah Gereja St Mary yang disebut oleh 'Paderi' Thomas Laiden  bukan terletak di Kota Kinabalu sebaliknya di Keuskupan Sandakan.
 2. Latihan Kepaderian
Thomas Laiden mendakwa telah menerima pembentukan kepaderian di sebuah Seminari yang dikenali sebagai Seminari Kepaderian Vantiken di Itali. Seminari ini langsung tidak wujud dan ejaan 'Vantiken' juga adalah salah. Seharusnya ejaan yang betul ialah 'Vatikan'.

3. Pembiayaan pembelajaran
Di dalam temuramah tersebut, Thomas Laiden mendakwa dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah. Malah beliau menyatakan bahawa bapanya yang bersungguh-sungguh menghantarnya untuk belajar menjadi paderi dan telah membelanjakan duit ayahnya dengan banyak.
Dakwaan ini langsung tidak benar kerana apabila seorang Katolik diterima untuk belajar menjadi paderi, dia akan dibiayai sepenuhnya oleh Gereja Katolik. Kedua, Gereja tidak mengenali dan tidak pernah berurusan dengan 'Persatuan Kristian Sabah' seperti yang dikatakan oleh paderi palsu tersebut. Jika adapun, Gereja tidak bergantung kepada Persatuan ini di dalam hal pembiayaan seorang seminarian atau apa-apa seminari di bawah kendalian Gereja Katolik tidak pernah menerima pembiayaan dari persatuan ini.
Ketiga,  bukan budaya Gereja Katolik untuk meminta sokongan atau bantuan kewangan dari ibu bapa untuk proses pembelajaran seorang seminarian. Malah, untuk mengikuti kursus di seminari, ia bukanlah keputusan dari ibu bapa atau dari satu pihak sahaja  kerana masih banyak lagi institusi pengajian tinggi yang lain.
Lagipun, keputusan akhir sentiasa dilakukan oleh Gereja dan Gereja yang menerima, menghantar dan memberi sokongan kepada para aspirant di dalam seminari. Seminari tidak semestinya di Itali sahaja. Kita mempunyai Seminari di Semenanjung dan Malaysia Timur serta di seluruh dunia.
Paderi palsu ini menyatakan bahawa beliau menghabiskan selama 12 tahun di 'Vantiken' dan banyak membelanjakan wang ayahnya. Kenyataan ini jelas satu penipuan kerana keuskupan adalah bertanggungjawab dalam menanggung segala pembiayaan para seminarian masing-masing.

4. Pengampunan Dosa
Tidak masuk akal sekali, mengapa tiba-tiba selepas tiga tahun menjadi 'paderi', beliau tiba-tiba tidak percaya dengan Sakramen Pengakuan.
Ini adalah kerana, 'paderi' ini mendakwa beliau dididik di dalam keluarga yang berpegang teguh kepada agama Katolik. Sebagai seorang Katolik, beliau pasti telah dibaptis ketika masih bayi atau mungkin di usia tertentu. Kemudian, beliau akan mempersiapkan diri melalui kelas agama di Gereja untuk Sakramen Komuni Pertama pada usia 7 atau 8 tahun.
Pada tahap usia ini, beliau sudah pasti mengenali Sakramen Pengakuan sebagai pengampunan dosa. Sebelum menerima Komuni Pertama, adalah lazim bagi para penerima Komuni Pertama untuk mengaku dosa dan memohon pengampunan. Proses ini terus diulangi setiap umat selama hayat mereka dan  selagi bergelar Katolik. Tanpa menerima Komuni Pertama, mana mungkin beliau layak memasuki seminari.
Beliau mendakwa, agama Katolik adalah agama yang direka-reka kerana adanya Pengampunan dosa, namun sekiranya beliau telah menerima Komuni Suci pertama pasti beliau sudah mengetahui serta memahami apa itu Sakramen Pengampunan. 
Maka, ia adalah sesuatu yang menghairankan, mengapa beliau meragui Sakramen Pengakuan selepas menjadi 'paderi'?
Beliau mendakwa diberi tanggungjawab besar untuk mengampuni dosa seluruh umat Kristian di Sabah. Ini dakwaan yang sangat salah kerana hanya umat Katolik yang layak mengaku di Gereja Katolik. Lagipun, melakukan Sakramen Pengakuan merupakan tugas asas semua paderi Katolik. Tidak pernah terjadi di dalam Gereja Katolik, hanya 'Paderi Besar' sahaja yang boleh melakukan atau diarahkan memberikan Sakramen Pengakuan. Tambahan pula, paderi-paderi tidak ditugaskan untuk mendengar pengakuan di sesuatu tempat sahaja. Paderi bertanggungjawab untuk mendengar pengakuan dosa, di mana sahaja umat yang memerlukan.

5. Paus Yohanes Paulus
Satu lagi pembohongannya ialah kononnya beliau pernah berdialog dengan Yang Mulia Sri Paus Yohanes Paulus. Beliau memanggil Paus sebagai 'PAUL'! Ini sesuatu yang mengejutkan , lebih-lebih lagi dengan dakwaannya yang pernah belajar di Itali tetapi menyapa Bapa Suci tanpa protokol. Untuk menyapa seorang Paderi Katolik, kita akan memanggilnya 'Father atau Paderi', 'Yang dihormati Uskup/Agung' dan 'Yang Mulia'  atau 'Bapa Suci' kepada Paus.
Beliau mendakwa lagi bahawa pernah berbual dengan Bapa Suci mengenai topik sakramen Pengakuan. Bapa Suci kononnya memberitahu beliau bahawa paderi-paderi Katolik adalah tidak berdosa. Sedangkan, ini bercanggah dengan ajaran Gereja Katolik. Tidak mungkin Paus sebagai ketua Gereja melafazkan kenyataan sedemikian. Ini sememangnya satu perbualan yang tidak pernah wujud dan hanya dibuat-buat sahaja.

6. Ekaristi
'Paderi' ini mendakwa bahawa umat Katolik menpunyai 7 Ekaristi.  Mustahil seorang paderi tidak tahu istilah tepat di dalam agama Katolik ialah Sakramen. Gereja Katolik mempunyai 7 Sakramen tetapi HANYA SATU EKARISTI.

7. Pembaptisan dan Air Suci
Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya Pembaptisan dan Air Suci. Kata Paderi palsu ini, "Dalam Kristian air suci atau lebih dikenali sebagai Holy Water, adalah paling bernilai sekali. Untuk menjadi seorang Kristian, seseorang perlu menjalani Ekaristi Pembaptisan iaitu meminum air ini."
Di dalam agama Katolik semasa Sakramen Pembaptisan, air dituangkan ke atas kepala seseorang atau bayi yang mahu dibaptis dengan ucapan "Saya membaptis kamu …. (nama) di dalam Bapa, Putera dan Roh Kudus," oleh paderi sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran baptisan baru di dalam Gereja. Katekumen TIDAK diberikan air untuk diminum semasa Sakramen Pembaptisan Katolik.
Jika benarlah beliau seorang Katolik atau paderi, mustahil beliau tidak tahu aspek-aspek fizikal yang terlibat di dalam Sakramen Pembaptisan, lebih-lebih lagi apabila beliau mendakwa sudah beberapa tahun menjadi 'paderi'!  Malah, amat meragukan sebagai seseorang yang mengaku seorang paderi, tidak tahu perbezaan di antara menuangkan air di kepala semasa dibaptis dan "meminum air suci"?
Paderi palsu ini juga menceritakan bahawa seorang doktor wanita telah meminum Air Suci dan serta merta murtad dari agama Islam. Jika benarlah Gereja Katolik ini adalah iblis seperti dakwaannya, maka lebih baik Gereja mengisi Air Suci di dalam botol mineral dan menjualnya sahaja agar semua orang di dunia ini menjadi Katolik!
 8. Perpustakaan Sakristi
Menurut paderi palsu ini, "Saya diberi tugas oleh seorang paderi untuk menjaga sakristi perpustakaan yang terdapat di gereja untuk menjaga kitab-kitab di situ."
Setiap Gereja Katolik mempunyai sakristi iaitu bilik kecil di belakang altar di mana tersimpannya jubah-jubah paderi dan barangan kudus yang digunakan semasa Misa Kudus. Ia bukanlah perpustakaan yang penuh dengan kitab-kitab malah tidak ada apa yang rahsia di sakristi.
Petugas Sakristi yang dipanggil Sakristan menjaga kebersihan bilik Sakristi dan peralatan untuk Misa Kudus. Ternyata ini juga satu penipuan yang licik tetapi tidak bijak oleh paderi palsu ini.

9. Tritunggal Mahakudus
Pada suatu malam Ahad pada tahun 1991, saya bersembahyang dengan cara Kristian di hadapan tuhan-tuhan saya iaitu. Tuhan Bapa, Ibu Tuhan (Mary) dan Anak Tuhan (Jesus Christ)
"QS 5:116........Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: Hai Isa putra Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: jadikanlah AKU dan IBUKU dua orang Tuhan selain Allah.." — Kenyataan ini merupakan pemahaman orang Islam terhadap Tritunggal. Agama Katolik mempunyai definisi sendiri mengenai Tritunggal.
Mengapa pula seorang paderi harus mengambil definisi dari sudut agama Islam? Pada dasarnya, pemahaman Katolik mengenai Tritunggal ialah, Bapa, Putera dan Roh Kudus iaitu tiga peribadi di dalam satu Tuhan. Tidak masuk akal apabila seorang bekas paderi mempunyai pengertian yang amat menyimpang dari agama Katolik.

10. Penduduk dibayar untuk masuk Kristian!
Thomas Laiden menyatakan, "Pernah terjadi di Perak, saya telah menghabiskan beratus ribu untuk mereka, mereka mengambil wang tersebut tetapi tidak memeluk Kristian."
Gereja Katolik tidak memaksa seseorang individu untuk menjadi Katolik. Sebaliknya keikhlasan dan keterbukaan hati merupakan elemen yang amat penting bagi mereka yang ingin menganut agama Katolik.
Ketika mereka sudah bersedia, barulah mereka boleh mendaftar serta mengikuti kelas agama selama setahun sebelum mereka layak dibaptis.
Gereja Katolik tidak berlumba-lumba dalam meningkatkan jumlah penganutnya. Tetapi, Gereja lebih mementingkan kualiti iman para komunitinya.
Malah, mereka yang memilih menjadi Katolik pada hari ini, sekiranya hati mereka terbuka untuk menganut agama lain pula pada keesokan harinya, dia boleh melakukan kehendaknya TANPA DIHUKUM. Ini adalah kerana Gereja Katolik amat berpegang kepada hak-hak asasi manusia iaitu bebas memilih kepercayaan dan amat menghormati maruah manusia. 
Oleh itu, ia adalah satu kenyataan bodoh sekiranya menghabiskan wang semata-mata mahu penganut lain meninggalkan agama mereka untuk menganut Katolik sedangkan kita tahu, tidak ada proses yang berat untuk meninggalkan agama Katolik.
Namun, sekiranya seorang paderi atau religius, mahu meninggalkan pelayanannya atau tidak mahu menjadi paderi lagi, maka beliau seharusnya mengikuti prosedur yang telah ditentukan.
Bagi Paderi palsu ini, tidak dinyatakan pula  bahawa beliau telah mengikuti prosedur tersebut sebaliknya mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menipu dan palsu mengenai ajaran Gereja Katolik.

10. Penggunaan Istilah Dalam Profesion
Di dalam semua kenyataan 'bekas paderi' ini, sangat jelas beliau tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai istilah iaitu terma lazim yang digunakan oleh penganut Katolik. Kita tahu bahawa seorang paderi biasanya mahir dalam menggunakan istilah-istilah dalam kepaderian.
Ini dapat diperhatikan apabila Thomas Laiden tidak tahu bahawa untuk menjadi seorang Paderi ia merupakan satu panggilan (vocation), bukannya diarahkan atau mengikut keputusan orang lain.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau 'dilantik' menjadi paderi sedangkan istilah yang tepat ialah 'ditahbis'. Kemudian, beliau mengakui bahawa beliau adalah 'Paderi Besar' sedangkan Gereja Katolik tidak mempunyai sebarang gelaran atau jawatan seperti itu.
Seterusnya, beliau menyatakan semasa Pembaptisan, seorang Katolik akan meminum Air Suci. Beliau juga menyatakan Sakramen sebagai Ekaristi-Ekaristi. Satu bukti lagi yang paling menyerlah mengenai penipuannya ialah menerangkan Tritunggal di dalam konteks Al-Quran.

KESIMPULAN:

Demikianlah pembohongan seorang "Paderi Besar' yang kemudiannya memeluk agama Islam. Beliau menyeru kita semua untuk mempercayainya.
Betapa ironinya sebagai seorang yang mendakwa pernah belajar ilmu kepaderian selama 12 tahun di 'Ventikan' — iaitu nama tempat yang beliau sendiri  tidak tahu mengejanya. 
Mungkin, semua umat pelbagai agama harus bekerjasama agar tidak mudah terpengaruh dengan serangan-serangan penipuan dan pembohonan seperti 'Paderi Besar' palsu ini. Ini jelas boleh mengancam keharmonian di kalangan pelbagai penganut agama di negara ini.


Beberapa fakta pembohongan seorang paderi murtad
* "Saya mendapat pendidikan di Seminari Kepaderian 'Vantiken' Itali, iaitu institusi kepaderian terulung di Itali dan di dunia dengan dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah."
* "Saya bertugas di Gereja St Mary dan Persatuan Gereja Roman Katholik Sabah seluruh Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu."
* "Seorang paderi diberi tanggungjawab yang besar iaitu untuk mengampunkan dosa manusia."
* "Di negeri saya Sabah, setiap malam Ahad saya mengampunkan dosa orang Kristian yang beratus-ratus orang yang datang mengaku buat dosa."
* (Dialog dengan Bapa Suci Yohanes Paulus II) "Paderi Thomas, kamu ini dilantik menjadi seorang paderi, maka kamu ini seorang yang suci dan tidak mempunyai sebarang dosa.."
* Beliau mendakwa Katolik ada tujuh EKARISTI — Di dalam Kristian mempunyai tujuh rukun iaitu:
i). Ekaristi Pembaptisan – seseorang yang ingin memeluk Kristian, mereka mesti dibaptiskan air suci.
ii). Ekaristi Pengakuan – mengaku dosa di hadapan paderi
iii) Ekaristi Maha Kudus – memakan tubuh Tuhan (Khusti kudus)
iv) Ekaristi Minyak Suci – air suci
v). Ekaristi Krisma – penerima Ekaristi Maha Kudus layak menerima Krisma
vi) Kristi Imaman – menjadi paderi
vii). Ekaristi Perkahwinan – hanya untuk penganut awam (Paderi tidak menerima ekaristi ini)



KENYATAAN AKHBAR DARI KEUSKUPAN KENINGAU

Penjelasan polemik Tajuddin Othman @ Thomas Laiden
Negara kita Malaysia adalah negara yang aman makmur di mana setiap warganegara yang berbilang kaum, agama dan adat resam serta tradisi, hidup dalam keadaan yang aman damai.  Kepelbagaian dan perbezaan tersebut telah menjadikan kehidupan kita lebih berwarna-warni dan menjadikan kita semakin merapatkan hubungan kita dengan sesama dan dengan Sang Pencipta kita.
Namun sayang tidak semua orang berpendapat demikian. Ada saja pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati orang yang tidak sealiran atau seagama dengan mereka. Di sini kami ingin membetulkan tohmahan yang dilontarkan oleh Ustaz Tajuddin Othman Abdullah yang terdapat dalam Majalah MUSLIMAH terbitan Februari 1999, bertajuk "Iktibar buat mereka yang murtad!"
Dalam artikel tersebut, orang itu mendakwa dirinya sebagai bekas seorang paderi Katolik bernama paderi Thomas Laiden, berketurunan Solok. Beliau mengaku pernah belajar menjadi paderi di Vatiken Itali. Kononnya beliau pernah bertugas di Vatiken dan seterusnya bertugas di Gereja St. Mary, di Kota Kinabalu pada tahun 1988. (Gereja St. Mary sebenarnya di Sandakan)
Perlu kami jelaskan di sini bahawa kami tidak pernah kenal seorang paderi yang bernama Thomas Laiden. Apalagi seorang paderi yang berketurunan Solok di negeri Sabah ini. Orang (rekaan) ini tidak pernah wujud dalam senarai mahupun perhidmatan dalam mana-mana Gereja Katolik di Sabah.
Melalui artikel tersebut menjadi jelas pada kami bahawa Tajuddin Othman Abdullah @ Thomas Laiden adalah seorang pembohong kerana segala tohmahannya mengenai doktrin Kristian Katolik yang terdapat dalam artikel tersebut semuanya tidak benar. Segala tohmahan tersebut lebih bersifat rekaan semata-mata yang boleh menimbulkan provokasi kepada orang lain sekaligus memberi gambaran yang salah kepada penganut Islam dan semua pembaca yang budiman tentang agama Katolik.
Besar kemungkinan penulis artikel tersebut hanya ingin menyampaikan mesej kepada kaum muslimin supaya tidak murtad. Tetapi kalau ya pun, janganlah menggunakan isu-isu agama orang lain. Agama apapun berpendapat bahawa berhohong itu dosa. 
Jika benarlah kewujudan peribadi yang bernama Tajuddin Othman Abdullah @ Thomas Laiden ini, maka kami berharap agar pihak Majlis Agama Islam Melaka di bahagian unit kristianologi, menyelidiki latar belakangnya terutama surat lahir dan Mykad supaya jangan sampai mereka pun ditipu oleh seorang 'ustaz' murahan. Jika perlu, kami sentiasa bekerjasama demi semangat berdialog ke arah keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
    Fr. Dr. Charles Chiew
    Keuskupan Keningau

15 comments:

  1. Salam sejahtera..tentang surah al ma'idah ayat 116 - 117..

    "Ingatlah ketika Allah SWT berfirman:"Hai 'Isa anak Maryam! Adakah engkau mengatakan kepada manusia seperti ini?"Ambillah saya dan ibu saya menjadi Tuhan selain daripada Allah.Nabi 'Isa A.S menjawab:"Maha suci Engkau ya Allah,tiadalah sepatutnya bagi saya,mengatakan barang yang bukan hak saya:jika sebenarnya saya mengatakan yang demikian,nescaya Engkau maha mengetahui nya,kerana Engkau maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam diri saya dan tidaklah saya mengetahui akan apa yang ada pada diri Engkau,sesungguhnya Engkau lah yang lebih mengetahui benda yang tersembunyi.Tiada saya katakan kepada mereka melainkan apa yang engkau perintahkan kepada saya iaitu supaya menyembah Allah SWT,Tuhan ku dan Tuhan kamu dan adalah saya menjadi saksi atas mereka selama saya hidup bersama mereka ,maka manakala Engkau wafatkan saya,adalah Engkau menjaga mereka dan Engkaulah yang menjadi saksi atas setiap sesuatu."

    Ambillah iktibar dari surah ini.

    ReplyDelete
  2. Osama Bin Laden kali dia ni...kantoi!!

    ReplyDelete
  3. Da masok poket daaa...

    ReplyDelete
  4. Lakonan murahan..... HAHAHAHAH

    KASEAN DEH LOE

    ReplyDelete
  5. Lakonan murahan..... HAHAHAHAH

    KASEAN DEH LOE

    ReplyDelete
  6. semoga dia aman dalam pembohongannya..

    ReplyDelete
  7. Tiada orang Suluk beragama kristian ... dri lahir lagi mereka semua adalah agama islam, tak logik ... apa agenda dia buat mcm ni ... mencentuskan konflik antar Islam dan kristian ....

    ReplyDelete
  8. Nk jadi hero katun c tajudin ni..kenapa dia tk ckp dia pernah jadi TUHAN ja ni.

    ReplyDelete
  9. 'Pembohongan' ke-10 tu jelas palsu.

    ReplyDelete
  10. Tak takut bila mati..kna hukuman sebab berlakon mcm tuhan wahai osama laiden kedua

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  12. Semoga Allah memberikan hidayah

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...