20 January 2013

Sharifah Zohra Jabeen - Wanita ‘Listen, listen’ Beri Penjelasan


Kuala Lumpur: “Saya kesal isu video yang memaparkan saya dan gadis berkenaan diputar belit pihak yang mahu mengambil kesempatan.”
Demikian kata Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin mengenai klip video pertikaman lidah antara dia dengan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Undang-Undang, KS Bawani yang dimuat naik dalam YouTube baru-baru ini sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Saifudin Abdullah. Sharifah Zohra yang akhirnya tampil selepas dikritik banyak pihak itu sebaik saja klip video itu tersebar baru-baru ini mendakwa pihak tertentu mengambil kesempatan daripada insiden kontroversi di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu bagi meraih sokongan parti pembangkang.

Malah, dia juga menyalahkan orang ramai yang tidak menonton sepenuhnya rakaman video yang dikatakan mempunyai bahagian satu hingga empat.
Semalam, Mohamed Khaled berkata, pihaknya kesal dengan insiden terbabit dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang malang kerana berlaku dalam universiti.
Saifudin berkata, dalam keadaan biasa Sharifah Zohra boleh berbeza pendapat dengan mahasiswa seperti Bawani, tetapi perlu menggunakan bahasa lebih elok dan tidak memperkecilkan penuntut berusia 28 tahun itu.
Dia juga kesal apabila pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan apabila kata-katanya dalam klip berkenaan iaitu ‘Listen, Listen, Listen’ dicetak sebagai barangan jualan termasuk di atas kemeja-T, nada dering selain menjadi bahan lawak dalam pertunjukan tertentu.

Sebaliknya, katanya, tindakan licik pihak tertentu hanya memuat naik bahagian empat bagi mengelirukan orang ramai. “Saya tekankan di sini tiada tindakan mengutuk pelajar di negara ini, apatah lagi menghalang kebebasan berucap,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, Sharifah Zohra berkata, akibat insiden itu, dia dikritik keras tanpa ada sensitiviti menggunakan bahasa kesat yang mencabar maruahnya dan profesionalisme bertujuan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Fenomena video yang menjadikan saya selebriti dalam sekelip mata itu bagi mengelakkan tumpuan rakyat kepada isu lebih besar seperti pencabulan hak asasi pelajar, wanita dan kanak-kanak di Malaysia dengan membabitkan mereka dengan demonstrasi jalanan selain jenayah seperti penyalahgunaan dadah, masalah sosial, pembuangan bayi dan banyak lagi,” katanya.

Sumber - HMetro Online

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...